Peminat China meminta wang mereka dikembalikan selepas skuad kebangsaan negara itu hanya mampu seri ketika turun menentang Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Phoenix Hill, Chengdu semalam, penyokong yang hadir jelas kecewa kerana pasukan mereka hanya mampu seri ketika berdepan Malaysia yang mana kedua-dua pasukan dibezakan dengan kedudukan dalam ranking FIFA yang jauh berbeza.

Selepas keputusan seri diumumkan di dalam stadium, peminat terus mengecam prestasi yang ditampilkan oleh pemain seterusnya mahu wang tiket mereka dikembalikan.

Pada perlawanan semalam, Malaysia hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua permainan menerusi Darren Lok tetapi Faisal Abdul Halim yang melakukan ‘cutback’ terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus Faisal pada minit ke-11 selepas rembatannya dalam kawasan penalti setelah menerima lorongan Akhyar Rashid berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Yan Jungling.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan lagi moral anak buah Kim Pan-gon untuk tampil lebih baik berdepan pasukan tangga ke-80 ranking bola sepak dunia itu.

Ia dibuktikan dengan tandukan ketua pasukan Malaysia, Dion Cools pada ke-20 yang hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol China manakala berselang tiga minit kemudian rembatan kaki kiri Endrick Dos Santos dari jauh pula diselamatkan Jungling.

Jaringan yang dinantikan ribuan penyokong China hadir pada minit ke-36 apabila percubaan Lin Liangming ketika situasi sepakan percuma gagal diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi untuk kedudukan kembali terikat.

Kedudukan 1-1 itu terikat hingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan dua keputusan seri buat skuad negara dalam siri perlawanan persahabatan di Chengdu.

Sebelum ini, pasukan negara diikat Syria dimana perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 2-2.